BUTTERWORTH: Pengasuh berusia 39 tahun yang didakwa mengikat seorang kanak-kanak lelaki dan membiarkannya terbaring di atas lantai di rumah wanita terbabit akan dihadapkan ke mahkamah pada Jumaat. Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata siasatan telah dikumpul dan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan susulan. Pada Selasa, seorang pekerja kilang berusia 38 tahun mendapati anaknya yang berusia tiga tahun diikat dan terbaring di atas lantai semasa dia membuat pemeriksaan mengejut di rumah pengasuh terbabit di Taman Seri Pinang di sini. Pekerja kilang yang menghantar anak lelakinya ke rumah pengasuh itu sejak Jun tahun lalu menyedari anaknya sentiasa keletihan dan lapar setiap kali diambil pulang. Kes itu disiasat dibawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.