suria

Kita Tak Masuk Campur - Muhyiddin

Insiden pada Isnin malam yang mendorong pengurusan UM membuat laporan polis.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak akan campur tangan dalam siasatan yang dikendalikan Universiti Malaya berikutan insiden kekecohan yang berlaku ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ceramah, pada Isnin malam.


"Kita tidak masuk campur dengan proses pengajaran dan pembelajaran di universiti atau program serta majlis yang dianjurkan, termasuk insiden sedemikian (perhimpunan pada malam Isnin)," kata Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata kementerian berkenaan tidak pernah campur tangan operasi harian universiti awam.

"Saya dimaklumkan UM sedang meneliti perkara itu dan jika didapati adanya perlakuan yang melanggar peraturan dan undang-undang universiti, terpulang kepada UM untuk mengambil tindakan sewajarnya," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Pada Isnin, penuntut dan orang awam merempuh pagar kampus universiti itu untuk menghadiri acara yang dihadiri ketua pembangkang.

Susulan itu, laporan polis dibuat pihak UM pada pagi Selasa, mengenai adanya tindakan menceroboh.

Apabila ditanya sama ada kerajaan akan mempertimbangkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 berikutan insiden itu, Muhyiddin berkata, peraturan sedia ada sudah memadai untuk menangani isu berkenaan.

"Terpulang kepada pihak universiti untuk menentukan bagaimana untuk mengguna pakai peraturan sedia ada," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan kohort terkini sekolah berprestasi tinggi pada majlis khas di mana 13 sekolah dianugerahkan status berkenaan.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain