suria

UPP Rampas 689 Kg Daun Ketum Seludup

PADANG BESAR: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Chuping mematahkan cubaan menyeludup 689 kilogram daun ketum ke Thailand dan menahan dua lelaki dalam serbuan di ladang getah Chuping berhampiran pagar sempadan Malaysia-Thailand, dekat sini awal pagi Sabtu.

Komander UPP Chuping ASP Mohd Hafiz Abd Rahim berkata dalam serbuan pada 5.30 pagi itu, pihaknya turut merampas lapan motosikal bernilai RM16,000 yang digunakan untuk mengangkut 18 guni daun ketum berkenaan.
 
"Anggota UPP dikerah membuat intipan seawal 3 pagi setelah menerima maklumat. Kira-kira 5.30 pagi, lapan lelaki masing-masing menunggang sebuah motosikal dikesan berhampiran pagar keselamatan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut beliau, enam daripada lapan lelaki itu berjaya melarikan diri dengan meninggalkan motosikal masing-masing manakala dua yang ditahan merupakan penduduk tempatan berumur 17 dan 20 tahun.

Mohd Hafiz berkata daun ketum tersebut dianggar bernilai lebih RM55,000 berdasarkan harga pasaran di Thailand iaitu RM80 sekilogram.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, katanya.

UPP, daun ketum

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain