BESUT: Seorang penganggur ditemui mati di dalam semak oleh anaknya dekat Kampung Seberang Jerteh di sini malam Ahad. Ketua Polis Daerah Besut, Supt Khaled Che Lah berkata Zulkamal Othman, 39, yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap ditemui anaknya Mohd Zulhairul Idham, 19. Beliau berkata Zulkamal pada mulanya pergi ke rumah bekas isterinya untuk bertemu empat orang anaknya di Perumahan Rumah Awam Kos Rendah Pelagat 3, Kampung Seberang Jerteh. Namun tidak lama kemudian, dia mengadu sakit dada dan meminta izin untuk beredar dari situ. "Selepas beberapa minit kemudian, seorang anaknya yang keluar rumah telah menemui ayahnya yang rebah di dalam semak berdekatan kawasan tali air tidak jauh dari rumah itu," katanya pada sidang akhbar di sini, Isnin. Khaled berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Daerah Besut untuk dibedah siasat. Siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa, katanya. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.