KUALA LUMPUR: Malindo Air mengesahkan penerbangan OD206 dari New Delhi, India ke Kuala Lumpur pagi ini dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang di Bangkok, Thailand disebabkan masalah teknikal. Pesawat yang sepatutnya tiba di klia2 pada 5.25 pagi itu mendarat dengan selamat pada 2.45 pagi waktu Thailand dan tiada kecederaan dilaporkan, kata Malindo Air dalam satu kenyataan di sini. Penerbangan yang dioperasikan oleh pesawat Boeing 737-900ER itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi pada 10.05 malam waktu tempatan membawa 121 penumpang termasuk tiga bayi, dan lapan anak kapal. "Sebaik mengenal pasti masalah teknikal, kru operasi melaksanakan senarai semakan kecemasan menurut prosedur operasi standard dan memaklumkan kepada menara kawalan trafik udara sebelum menukar haluan ke Don Mueang. "Kebajikan penumpang kini dijaga oleh Thai Lion Air dan usaha sedang diambil untuk menerbangkan mereka ke Kuala Lumpur menerusi satu penerbangan yang dijadualkan pada 3.45 petang ini waktu Thailand," kata kenyataan itu. Malindo Air berkata pihaknya sedang meneliti punca masalah teknikal itu dan perkara berkenaan sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan termasuk pengeluar.