suria

Bayaran Saguhati Kepada Lembaga Pengarah Felcra Tak Diluluskan Kementerian Kewangan - PAC

Nur Jazlan
KUALA LUMPUR: Bayaran sagu hati sebanyak RM723,000 kepada anggota lembaga pengarah FELCRA sejak 2010 didapati tidak mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, kata Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata Kementerian Kewangan telah menolak cadangan pemberian sagu hati itu walaupun bayaran telah dibuat dan diluluskan sendiri Lembaga Pengarah FELCRA.

"Kementerian Kewangan selaku pemegang saham, dalam satu surat bertarikh 23 Oktober lepas telah meminta pembayaran sagu hati itu dihentikan serta merta. 

"Dalam maklum balas FELCRA, mereka mendakwa bayaran itu dibuat kerana FELCRA telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan dan oleh itu mereka (Lembaga Pengarah) layak mendapat sagu hati.

"Tapi kami maklumkan kepada mereka, walaupun Lembaga Pengarah sudah meluluskan, tapi ia mesti mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan di peringkat mesyuarat agung tahunan yang mereka tidak buat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini Isnin.

Bagaimanapun, Nur Jazlan berkata PAC tidak berpuas hati dengan penjelasan FELCRA dan akan terus menyiasat perkara tersebut bagi mencari penyelesaian dan jawapan.

"Mengikut prosedur, Lembaga Pengarah FELCRA harus meminta kelulusan sebelum pembayaran dibuat tapi ini terbalik malah baru sekarang mereka minta kelulusan. Kita akan terus siasat. Ini melibatkan banyak implikasi antaranya pelanggaran akta syarikat dan konflik kepentingan lembaga pengarah itu sendiri," katanya.

Sementara itu, Nur Jazlan berkata, pengurusan pembinaan kampus Sultan Azlan Shah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) akan lebih teratur jika semua pihak yang terlibat dapat berkomunikasi dengan baik dalam menyelesaikan isu pembinaan kampus tersebut.

"Pengarah Projek yang dilantik, Jabatan Kerja Raya, kontraktor dan UPSI hendaklah sentiasa berkomunikasi secara berkesan supaya isu yang dibangkitkan dapat diselesaikan dengan berkesan," katanya.

Projek itu sebelum ini dikategorikan sebagai kurang memuaskan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2013 siri 1 yang dibentangkan di Parlimen April lalu, berikutan pembinaannya tidak mengikut spesifikasi dan lambat mendapat sijil layak menduduki (CF).

Pakej 1 peruntukan RM459.58 juta diluluskan bagi projek pembinaan Kampus KSAS yang meliputi kerja tanah dan infrastruktur berjumlah RM36.59 juta dan Pakej 2 meliputi kerja bangunan berjumlah RM422.99 juta.

Projek yang diberikan secara rundingan terus itu sepatutnya bermula pada Mei 2008 dan dijadual siap pada 2010, namun masalah kelulusan projek memaksa projek itu dimulakan lewat sebelum akhirnya siap pada Januari 2012.

Nur Jazlan berkata, PAC juga mencadangkan agar semua pihak dalam kontrak reka bentuk dan pembinaan hendaklah memastikan kenyataan keperluan yang dipersetujui adalah praktikal dan tidak mengakibatkan pembaziran.

Katanya, keadaan peralatan yang dipasang juga hendaklah diperiksa dengan teliti UPSI bagi mengelakkan pengesahan dibuat atas peralatan yang tidak menepati spesifikasi seperti di dalam kontrak dan kerja pembaikan adalah berkualiti.

Beliau berkata UPSI dan JKR juga hendaklah memastikan pegawai diberikan kepakaran untuk menggunakan peralatan selepas proses penyerahan projek dilakukan.

"Kami dapati, terdapat kelemahan dalam menempatkan pegawai yang mempunyai kemahiran bersesuaian dalam mengendalikan sesuatu sistem atau peralatan," katanya.
PAC, Felcra, Datuk Nur Jazlan Mohamed

Artikel Berikut

Artikel Lain