PETALING JAYA: Polis melanjutkan tempoh tahanan reman seorang lelaki berusia 38 tahun bagi membantu siasatan berhubung kematian anaknya yang berusia empat bulan. Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata lelaki itu akan ditahan selama seminggu lagi, bermula Selasa. Tambahnya, lelaki berkenaan yang juga mempunyai tiga orang anak lain berumur antara dua bulan dan lapan tahun, telah menjalani penilaian perubatan dan didapati berada dalam keadaan sihat. Keluarganya tinggal di kawasan perumahan di SS2 di sini. "Kami telah merakamkan kenyataan daripada 18 jiran setakat ini," katanya. Terdahulu, dilaporkan bahawa bayi perempuan tersebut disahkan meninggal dunia selepas beberapa minit dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Sungai Buloh pada 24 Oktober dan ibu bapa bayi itu ditangkap pada 26 Oktober. Mereka mendakwa anak perempuan mereka patah lengan dan mengalami lebam-lebam setelah jatuh tangga dua hari sebelum kematiannya. Punca kematian dikatakan akibat mengalami kecederaan trauma di kepala dan luka parah juga didapati di bahagian kepala, tangan kanan dan belakang. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata kematian bayi itu diklasifikasikan sebagai pembunuhan kerana tahap kecederaannya. Polis tidak menyatakan jika tempoh reman untuk ibu kanak-kanak itu akan dilanjutkan.