PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya melakukan ujian DNA beliau sendiri bagi menolak penemuan pihak pendakwaan, Mahkamah Persekutuan diberitahu pada Selasa. Ketua pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, langkah itu boleh dilakukan jika ketua pembangkang itu berhasrat membuktikan penemuan DNA 'Lelaki Y' itu bukan miliknya. "Dia boleh ke Australia atau Eropah secara senyap untuk menjalankan ujian DNA dan mengemukakan profil DNA 'Lelaki Y'. Saya pasti mahkamah ini akan benarkan sebagai bukti tambahan," katanya. Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria mendengar hujah yang dikemukakan Muhammad Shafee yang bersambung Selasa. Barisan hakim sama mendengar rayuan terakhir kes liwat Anwar sejak Selasa minggu lalu di mana pihak pembelaan diketuai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram. Anwar mengemukakan rayuan untuk menolak hukuman lima tahun penjara kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.