suria

Pemuda Umno Anjur Sesi Pendaftaran Program Rumah Transit 1Malaysia

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan (dua, kanan) ketika melawat tapak projek Rumah Transit 1Malaysia dekat Bukit Jalil baru-baru ini. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno akan menganjurkan sesi pendaftaran bagi Program Rumah Transit 1Malaysia Kuala Lumpur pada Karnival Genexter di Dataran Putrajaya selama dua hari mulai Sabtu ini.

Naib Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata di bawah projek perintis Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu, sebanyak 620 rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Bukit Jalil disediakan kepada pasangan muda yang berkahwin dan berusia 30 tahun ke bawah.

"Kadar sewa yang dikenakan adalah RM250 sebulan dengan tempoh penyewaan selama dua tahun. Pemohon mestilah warganengara Malaysia, tidak mempunyai rumah sendiri di Kuala Lumpur dan pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah," katanya pada sidang media di pejabat pergerakan itu di sini, Selasa.

Hadir sama Penolong Setiausahanya, Datuk Mohamad Safri Ab Aziz, Ketua Biro Hal Ehwal Bandar dan Perumahan, Nazir Hussin Akhtar Hussin dan Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafli.

Khairul Azwan berkata antara syarat lain termasuklah pemohon tidak boleh menyewakan rumah transit berkenaan dan tidak boleh menuntut sebarang kos untuk pindah masuk dan keluar dari rumah berkenaan.

"Notis makluman untuk pengosongan rumah akan dikeluarkan kepada penyewa dalam tempoh enam bulan daripada tarikh tamat kontrak dan pemantauan akan dilakukan dari semasa ke semasa.

"Pemantauan yang dilakukan adalah bagi memastikan pemohon yang berjaya meningkatkan ekonomi keluarga agar berusaha mencari rumah yang lebih selesa dan memberi peluang kepada pemohon baharu menduduki rumah berkenaan," katanya.

Tarikh tutup permohonan adalah pada 13 November ini dan sebarang pertanyaan boleh hubungi pejabat Pergerakan Pemuda Umno di talian 03-40441199.

Sementara itu, Nazir Hussin berkata pergerakan itu akan mengadakan satu kongres perumahan rakyat pada 15 Nov ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang menghimpunkan pelbagai pihak bagi mencari penyelesaian lebih kukuh berhubung isu perumahan melibatkan golongan belia.

"Kongres berkenaan akan membincangkan langkah-langkah yang boleh disarankan kepada kerajaan untuk menangani masalah perumahan membabitkan golongan itu," katanya.

Artikel Lain