suria

PM Belanda Tiba Untuk Lawatan Rasmi

SEPANG: Perdana Menteri Belanda Mark Rutte tiba di sini pada Rabu untuk lawatan rasmi sehari di Malaysia bagi membincangkan perkembangan terkini berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh.

Rutte tiba dengan menaiki pesawat MAS penerbangan MH19 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 7.30 pagi dan disambut oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri.

Ini merupakan lawatan pertama Rutte ke Malaysia selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Belanda pada 14 Okt 2010 untuk mengukuhkan hubungan baik dua hala sedia ada antara kedua-dua negara.

Diiringi pegawai kanan dari Kementerian Luar Belanda, Rutte dijadual mengadakan mesyuarat yang padat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, Putrajaya.

Beliau juga dijadual menghadiri majlis rasmi jamuan tengah hari kediaman perdana menteri di Seri Perdana, juga di Putrajaya.

Menurut Wisma Putra, kedua-dua pemimpin juga dijangka mengadakan perjumpaan dengan pegawai Malaysia yang terlibat dengan penyiasatan nahas dalam kejadian MH17 selepas pertemuan mereka.

Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di zon yang sedang bergolak.

Terdapat 193 rakyat Belanda dan 44 rakyat Malaysia dalam pesawat berkenaan dan semua mangsa rakyat Malaysia telah dikenal pasti.

Kenyataan Wisma Putra berkata lawatan itu juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin untuk bertukar-tukar pandangan tentang isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Belanda

Artikel Berikut

Artikel Lain