KUALA LUMPUR: Data peribadi individu yang melayari laman web perjudian haram berisiko untuk digodam dan dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi. Beliau berkata, laman perjudian haram tidak menjamin perlindungan keselamatan data peribadi pengguna dan ramai yang tidak sedar mengenai perkara itu. "Laman web yang menjalankan aktiviti perjudian haram boleh melakukan pengodaman data peribadi kepada sesiapa sahaja yang mengakses laman itu. "Tujuan dia adalah untuk mendapatkan akses kepada kad kredit (pengguna) supaya ia boleh ditukar kepada kredit dalam alam maya untuk kepentingan mereka," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk "Perjudian Dalam Internet" terbitan Bernama TV, Khamis. Selain itu, Mohamed Sharil berkata, SKMM akan mempergiat usaha untuk menangani isu perjudian haram termasuk menyekat laman web berkaitan. "Kita memang sedang berusaha menyekat laman-laman yang terlibat dalam perjudian, kita memang perangi (judi haram) secara habis-habisan. "Tetapi perlu diingatkan bahawa apa sahaja jenis sekatan yang dilakukan dalam Internet, hakikatnya mereka (pemilik laman web) akan mencari pelbagai kaedah untuk menyelinap masuk dengan membuat akaun baru," katanya. Pada Selesa lepas, media melaporkan sehingga kini sejumlah 172 laman web perjudian haram sudah dikenakan sekatan. Mohamed Sharil berkata, selain inisiatif pihak berkuasa dan agensi-agensi yang terbabit dalam memerangi aktiviti perjudian haram dalam Internet, orang ramai juga perlu memainkan peranan proaktif termasuk tidak mengakses laman web berkaitan. "Benda ini perlu penglibatan semua pihak untuk memerangi isu perjudian siber. Orang ramai juga perlu menjauhi dari mengakses laman judi, ia tidak selamat, ia tidak baik, malah bagi umat Islam ia (judi) adalah haram," katanya.