KELANA JAYA: Mesyuarat agung luar biasa (EGM) Malaysian Airline System Bhd (MAS) berlangsung dengan lancar pada Khamis walaupun berlaku sedikit ketegangan apabila beberapa pemegang saham meluahkan perasaan tidak puas hati mereka. Pemegang saham minoriti MAS pada mesyuarat itu menyokong cadangan bagi pengurangan dan pembayaran balik modal secara terpilih (SCR). Cadangan SCR itu dibuat oleh Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), pemegang saham majoriti MAS, dalam satu surat kepada syarikat tersebut pada 8 Ogos, 2014. Pemegang saham minoriti biasa akan menerima pembayaran balik modal sebanyak 27 sen sesaham yang merupakan premium lima hari atas harga saham pasaran purata wajaran enam bulan pada 14.9 peratus kepada 22.8 peratus (pada 8 Ogos, 2014). Cadangan SCR itu menawarkan peluang kepada pemegang saham minoriti untuk menerima premium berbanding harga semasa saham MAS, agar tidak tertakluk kepada risiko berkaitan serta ketidakpastian berkaitan dengan pelaksanaan cadangan penyusunan semula itu. Bagaimanapun, beberapa pemegang saham minoriti melahirkan kekecewaan dan rasa tidak puas hati mereka terhadap kekekokan MAS semasa EGM itu. Lo Peng Hong, pemegang saham yang berusia 79, berkata, "Tidak ada masalah semasa mesyuarat, sangat tenang. Orang bertanya mengapa tidak kita uruskannya sendiri, mengapa Khazanah perlu terlibat. Tetapi saya rasa ia akan selesai." Seorang pemegang saham lain yang memperkenalkan dirinya sebagai Pillay, dan mengaku tidak mengundi bagi cadangan itu berkata, harga yang ditawarkan terlalu rendah dan merasakan MAS harus menawarkan harga lebih tinggi, sekurang-kurangnya sekali ganda harga sekarang. "Mereka harus menawarkan harga yang lebih baik. Kami berharap kami mendapat harga yang lebih baik," katanya. Shahrizan Ismail, 47, berkata, beberapa pemegang saham yang membeli saham itu pada harga RM8 meluahkan kekecewaan mereka kerana mereka akan rugi sekiranya menerima tawaran 27 sen sesaham itu. Kelvin Chai, 60, berkata kebanyakan pelabur yang lama berang dan kecewa dengan harga tersebut kerana mereka membeli saham itu pada harga lebih RM8. "Mereka juga mengadu pengurusan yang tidak cekap, ada yang bertanya bagaimana orang-orang (kakitangan pengurusan) dilantik, dan mereka tidak berpuas hati dengan ketidakcekapan syarikat penerbangan itu," katanya. Bagaimanapun, katanya pihak pengurusan berjaya mengawal mesyuarat tersebut dengan baik. "Walaupun ramai orang yang bertanyakan soalan dengan lantang dan agresif, para pengarah sangat tenang dan terkawal," katanya.