PUTRAJAYA: Prosiding rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan kemungkinan akan berlarutan sehingga Jumaat. Wakil peguam pembelaan, Ramkarpal Singh berkata, pihaknya memerlukan lebih masa untuk memberi hujahan balas berhubung beberapa perkara penting yang dibangkitkan pasukan pendakwaan. "Saya berharap akan habiskan hujahan saya sebelum tengah hari. "Lepas itu ada lagi tiga penghujahan. Kita harap hari ini (Khamis) boleh habis atau selewat-lewatnya pagi esok," katanya kepada pemberita di luar kamar Mahkamah Persekutuan semasa prosiding berhenti rehat pada pukul 11 pagi Khamis. Ramkarpal memulakan penghujahan balas pihak pembelaan pada prosiding pagi ini yang masuk hari ketujuh. "Pembelaan telah bermula dengan penghujahan. Saya menyentuh mengenai keterangan saintifik dan DNA. Saya akan sambung selepas ini," katanya. Sebelum ini pihak pendakwan yang diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah banyak membangkitkan mengenai DNA Anwar yang diperoleh daripada lokap untuk dipadankan dengan profil 'Lelaki Y' yang ditemui pada tubuh pengadu, Mohd Saiful.