KOTA KINABALU: Polis melancarkan pemburuan besar-besaran terhadap militan Tentera Diraja Sulu (RSF) yang dipercayai berada di negeri ini dan cuba menyambung semula operasinya di sini. Kakitangan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan pasukan petugas khas polis kini sibuk mengenal pasti militan RSF dan mereka yang lain. Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman enggan memberikan butiran operasi dan menyatakan berapa ramai militan dipercayai berada di sini. "Mereka, terutamanya berada di kawasan pantai timur seperti Semporna dan Lahad Datu," katanya pada perhimpunan bulanan polis negeri di ibu pejabat Kepayan di sini Rabu. Dua yang terbunuh dalam kejadian tembak di kota Penampang Baru, dekat sini pada 30 Oktober, nyata merupakan militan RSF walaupun mereka pada awalnya disangka sebagai perompak. Kedua-dua mereka, warga Filipina, berusia 42 dan 50 tahun, dan seorang daripadanya adalah ketua yang berpangkalan di negeri itu, kata Jalaluddin. "Kedua-duanya adalah pendatang tanpa izin," katanya, sambil menambah seorang daripada mereka memiliki kad pengenalan palsu Malaysia manakala seorang lagi memiliki pasport Filipina. Polis percaya militan RSF merancang untuk menimbulkan kekecohan di Sabah, serta meningkatkan aktiviti-aktiviti jenayah, termasuk rompakan dan penculikan. "Mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan penculikan untuk wang tebusan yang dipimpin oleh Muktadir bersaudara yang terkenal," kata Jalaluddin. Kumpulan bersaudara ini yang terdiri daripada Badong, Ali@ Brown dan Nikson dipercayai berada di sebalik rangkaian penculikan di negeri ini sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan berada dalam senarai teratas yang dikehendaki polis. Militan RSF cuba untuk bangkit semula selepas pencerobohan bersenjata mereka ke atas Tanduo, sebuah perkampungan di Lahad Datu pada 12 Februari 2013, gagal. Seramai 200 lelaki bersenjata yang diketuai oleh Raja Muda Azzimuddie Kiram, dihantar oleh abangnya yang mendakwa dirinya adalah Sultan Sulu Jamalul Kiram III, untuk mendapatkan semula Sabah. Angkatan Tentera Malaysia membunuh ramai militan pada minggu-minggu berikutnya tetapi beberapa orang daripada mereka, termasuk Azzimuddie, berjaya melarikan diri. Jamalul meninggal dunia pada Oktober tahun itu dan sejak itu tidak ada lagi yang didengar daripada para pengikutnya. Siapakah pihak utama yang berada di belakang militan RSF sekarang masih belum jelas tetapi ada spekulasi bahawa ada pihak yang berpura-pura daripada Sulu mungkin terlibat dan telah merekrut bekas ahli Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dan lain-lain. MNLF adalah gerakan pemisah di selatan Filipina yang mahukan sebuah negara Islam merdeka. Polis sabah menangkap enam orang termasuk seorang anggota polis dan seorang anggota tentera laut baru-baru ini kerana didakwa terbabit dengan RSF.