KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjadi anggota Pasukan Penyiasat dari Malaysia untuk menjalankan siasatan nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai lalu. Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun berkata beliau amat berbesar hati apabila pengumuman dibuat oleh pemimpin Belanda mengenai penyertaan Malaysia dalam siasatan nahas itu. Beliau berkata PDRM boleh memainkan peranan dalam siasatan terutama dalam aspek siasatan jenayah bagi menentukan pihak sebenar yang terlibat dalam serangan yang menyebabkan pesawat itu terhempas. "Kita berpendapat kita wajar jadi ahli kerana mangsa kita ramai dan pesawat itu adalah milik kita. Memang wajar agar kita diterima sebagai pasukan penyiasat bersama pasukan antarabangsa selain Netherlands, Australia, United Kingdom dan negara lain," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Pada Rabu, dalam satu sidang media bersama di Putrajaya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatannya dari Belanda, Mark Rutte mengumumkan Malaysia dilantik sebagai anggota penuh dalam kumpulan penyiasat mengenai MH17 yang diketuai Belanda. Rutte bertemu Najib dalam lawatan kerja sehari ke negara ini dan ia merupakan lawatan pertama Rutte ke Malaysia selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Belanda pada 14 Oktober 2010. Kedua-dua pemimpin menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dalam penyiasatan nahas MH17 dan membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan. Penerbangan MH17 terhempas di timur Ukraine semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal. Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh di zon yang sedang bergolak. Pesawat itu antara lain membawa 193 warga Belanda dan 44 rakyat Malaysia dalam kalangan penumpang dan anak kapal. Semua mayat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa telah dikenal pasti. Mohamad Fuzi berkata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan mengumumkan jabatan PDRM yang bakal terlibat dalam siasatan itu.