suria

Rayuan Kes Liwat Anwar Ditangguh Ke Jumaat

Anwar Ibrahim.
PUTRAJAYA: Prosiding pendengaran kes rayuan terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kesalahan meliwat akan disambung pada Jumaat petang.

Menurut wakil pasukan pembelaan, Ramkarpal Singh, pihaknya memerlukan lebih masa untuk menggulung hujahan bagi mengenepikan hukuman penjara lima tahun terhadap Ketua Pembangkang itu.

"Esok Datuk Seri Gopal Sri Ram akan menyambung sedikit lagi hujah penggulungannya...mungkin dalam 10 atau 15 minit.

"Lepas itu pihak pendakwaan mungkin akan menimbulkan beberapa perkara. Pastinya kita boleh jawab.

"Apa yang pasti kita boleh habiskan esok. Cuma saya fikir keputusan akan dibuat pada hari lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar kamar Mahkamah Persekutuan di sini, Khamis.

Prosiding hari ini yang masuk hari ketujuh bermula pukul 9 pagi dan berakhir kira-kira pukul 7 malam.

Sementara itu ketua pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika diminta mengulas mengenai prosiding yang akan bersambung esok berkata, pihaknya sedia untuk menjawab beberapa hujah pembelaan yang disifatkan 'cerita lama'.

"Hari ini apa yang kita dengar daripada sana (peguambela) cerita lama...cerita lama yang kita ada jawapan.

"Kita punya hujah dari segi fakta dan undang-undang dan masih lagi sah (relevan).

"Esok kita hanya nak memperkukuhkan sudut-sudut yang sudah dipilih," katanya.

Menurut Muhammad Shafee, beliau yakin proses pendengaran rayuan ini akan berakhir esok (Jumaat).




Anwar Ibrahim, kes liwat

Artikel Sebelum

Artikel Lain