suria

Dadah Bernilai RM1.7 Juta Dirampas

Anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak mengeluarkan kasut yang digunakan untuk mengisi dadah jenis syabu seberat 9.63 kilogram bernilai RM1.7 juta yang dirampas, pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri di Kuching pada Khamis. - fotoBERNAMA
KUCHING: Polis menahan dua warga asing dan merampas 9.63 kg dadah disyaki syabu yang dianggar bernilai RM1.7 juta dalam tangkapan lewat malam tadi dan awal pagi Khamis, yang merupakan rampasan dadah terbesar di Sarawak sehingga kini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri Datuk Chai Khin Chung berkata dalam tangkapan pertama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini kira-kira pukul 11.30 malam Rabu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dengan kerjasama Jabatan Kastam menahan seorang wanita selepas menemui 6.5kg dadah disyaki syabu dalam beg pakaiannya.

Beliau berkata dadah yang dibungkus kemas itu disembunyikan di satu ruang rahsia dalam beg pakaian itu, dan ada juga bungkusan kecil dadah yang disembunyikan dalam beberapa pasang kasut yang terdapat dalam beg berkenaan.

Katanya tindakan susulan polis membawa kepada penangkapan seorang lagi lelaki di sebuah hotel di bandar raya ini kira-kira pukul 3.30 pagi Khamis, dan merampas 3.13kg lagi dadah disyaki syabu.

"Kedua-dua suspek yang berumur sekitar 40-an itu kini direman sehingga 13 November bagi membantu siasatan," katanya dalam sidang media di pusat media Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri di sini.

Chai berkata kes sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Beliau berkata siasatan mendapati kedua-dua suspek berlepas dari Hong Kong semalam dengan penerbangan berasingan, dan dadah yang dibawa mereka dipercayai bukan untuk tujuan pasaran tempatan.

Katanya polis percaya dua warga asing itu adalah dari satu sindiket mengedar dadah, dan pihaknya sedang menyiasat sekiranya masih ada saki baki anggota sindiket berkenaan yang masih berada dalam negara.

Menurutnya siasatan mendapati ini merupakan kali kedua wanita itu sampai ke Kuching.

Chai seterusnya meminta orang ramai agar dapat bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menyalurkan sebarang maklumat yang dirasakan dapat membantu dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah.

rampasan, dadah, Chai Khin Chung

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain