suria

Dana Tambahan RM40 Untuk Hentikan Banjir Lumpur - Palanivel

Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Bertam Valley terpaksa ditutup akibat limpahan deras dan merbahaya air Sungai Bertam ekoran banjir lumpur dan tanah runtuh yang berlaku di Lembah Bertam, Cameron Highlands pada Rabu. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar memohon peruntukan tambahan sebanyak RM40 juta untuk mendalamkan Sungai Ringlet dan mengukuhkan benteng sungai itu dalam usaha mencegah insiden banjir lumpur pada masa akan datang.

Menterinya, Datuk Seri G.Palanivel berkata, ia adalah peruntukan tambahan kepada permintaan terdahulu iaitu sebanyak RM40 juta untuk menjalankan kerja-kerja yang serupa di Lembah Bertam yang dilanda banjir lumpur pada 23 Oktober tahun lalu.

"Saya telah meminta sejumlah peruntukan untuk digunakan bagi mendalamkan sungai dan menanam pokok di sepanjang tebing sungai.

"Sebagai langkah segera, kami akan memindahkan mangsa ke lokasi selamat dan terdapat penempatan sementara di dewan orang ramai," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada Khamis.

Ketika ditanya sekiranya banjir lumpur itu berpunca daripada aktiviti pembersihan tanah dan pembangunan melampau di kawasan itu, Palanivel berkata, itu bukan kesnya.

"Itu mungkin terjadi dalam insiden di Lembah Bertam tetapi ia berbeza dengan di Ringlet.

"Di sini masalah utama adalah air mengalir deras dari kawasan tinggi ke dalam sungai bukannya empangan selepas hujan lebat," katanya.

Palanivel berkata, pegawai daerah turut diminta untuk memindahkan beberapa penduduk yang tinggal di sepanjang tebing sungai.

"Saya tidak pasti sekiranya mereka itu penduduk setinggan tetapi saya telah berbincang dengan pejabat tanah untuk melihat sekiranya mereka boleh dipindahkan bagi memberi laluan kepada kita untuk membersihkan kawasan tersebut," katanya.

Sekurang-kurangnya tiga maut selepas hujan lebat yang mengakibatkan dua insiden tanah runtuh dan banjir lumpur di beberapa kawasan di sini, Rabu.


Artikel Lain