suria

Tindakan PTPTN Senaraikan Nama Peminjam Dalam CCRIS Wajar - Khairy

Khairy Jamaluddin.
KUALA LUMPUR: Tindakan menyenaraikan nama peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat bayaran balik dalam Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) adalah wajar dan adil, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata tindakan itu munasabah memandangkan hanya dilakukan kepada mereka yang tidak pernah membuat bayaran balik melebihi tiga tahun daripada tarikh pembayaran bukannya semua peminjam.

"Ia juga tidak melibatkan mereka yang masih mencari pekerjaan kerana baru keluar daripada universiti. Saya difahamkan PTPTN akan memberikan tempoh masa beberapa bulan kepada peminjam untuk membayar hutang sebelum disenaraikan dalam CCRIS," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita selepas merasmikan Program Tahunan Isteri-isteri Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2014 di Stadium Putra di sini Khamis.

Pada Rabu, Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah memberitahu bahawa perbadanan itu akan menyenaraikan 173,985 peminjam tegar iaitu mereka yang gagal membayar balik pinjaman selepas tiga tahun tamat pengajian dalam CCRIS dengan kerjasama Bank Negara, mulai 1 Januari 2015.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata tindakan menyenaraihitamkan nama peminjam adalah perlu bagi memberi peluang kepada peminjam baharu untuk menikmati kemudahan itu.

"Kita kena ingat PTPTN adalah tabung pusingan. Kalau tidak dibayar, pelajar akan datang tidak boleh mendapat kemudahan sama atau secara tidak langsung PTPT Nterpaksa mengurangkan pembiayaan kerana keengganan peminjam membuat pembayaran balik," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan peminjam yang masih tidak membuat bayaran walaupun sesen setelah tiga hingga lima tahun tamat pengajian untuk meluangkan masa ke kaunter PTPTN bagi urusan pembayaran balik. 

"PTPTN pun dah kata kalau nak bayar sekurang-kurangnya RM100 pun tak apa dan mereka tidak akan senaraikan dalam CCRIS," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata beliau telah meminta sayap parti di Selangor untuk meningkatkan usaha memperbaiki kelemahan parti di negeri itu selepas tewas dalam dua pilihan raya umum berturut-turut. 


PTPTN, Khairy Jamaluddin

Artikel Sebelum

Artikel Lain