suria

Rangka SOP Kemasukan Buku Agama Kristian Ke Sabah

Joseph Kurup.
KOTA KINABALU: Polis dan Jabatan Kastam akan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) mengenai bahan terbitan agama yang dibawa masuk ke Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata, SOP itu akan membolehkan gereja Sabah untuk membawa masuk bahan terbitan agama tanpa halangan.

"Kami sedang berbincang dengan pihak berkuasa di samping Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam merangka SOP yang kita harap akan menjadi kenyataan dalam masa terdekat," katanya selepas menyerahkan kira-kira 130 buku agama dan 290 cakera padat di Gereja Protestant di Sabah (PCS).

Bahan terbitan agama itu dirampas oleh pegawai Kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 25 Oktober.

Ia dipercayai dibawa masuk oleh pekerja gereja PCS, Maklin Masiau dari Medan, Indonesia yang transit di KLIA sebelum berlepas ke Kota Kinabalu.

Kurup berkata, selepas pemeriksaan dengan pegawai Kastam, beliau dimaklumkan bahawa bahan terbitan itu dirampas bukan kerana pengharaman penggunaan kalimah Allah.

"Sebaliknya pegawai Kastam memberitahu bahawa terdapat sejumlah bahan terbitan dibawa masuk ke negara ini dan mereka mahu melakukan pemeriksaan lanjut.

"Namun kami berharap dengan SOP tersebut, tiada lagi halangan kepada mana-mana gereja untuk membawa masuk bahan terbitan agama itu," katanya.

Turut hadir adalah wakil dari pelbagai gereja di Sabah selain Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Johnson Tee.

Joseph Kurup, SOP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan