suria

Anifah Rai Komuniti Diplomat Antarabangsa Di New York

Anifah Aman

NEW YORK: Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang sedang melawat New York, menjadi hos majlis makan malam pada Khamis untuk mengucapkan terima kasih kepada komuniti diplomat antarabangsa di atas sokongan mereka kepada Malaysia semasa pengundian kerusi tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNSC).

Malaysia dipilih sebagai anggota tidak tetap UNSC pada 16 Oktober lepas dengan majoriti 187 daripada 192 undi. Majlis makam malam itu yang diadakan di Pejabat Wakil Tetap Malaysia di PBB,dihadiri oleh diplomat peringkat tertinggi di PBB yang mengucapkan tahniah kepada Anifah, yang kemudian meluangkan masanya beramah mesra dengan jemputan.

Wakil duta negara Asia-Pasifik, termasuk negara anggota Asean, duta dari negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) yang banyak memberi sokongan kepada Malaysia, hadir pada majlis malam itu.

Para jemputan dihidangkan dengan beraneka pilihan juadah Malaysia dan Timur Tengah untuk mereka menjamu selera dan antara yang kelihatan antaranya duta dari Emiriyah Arab Bersatu, Afghanistan, Maghribi selain beberapa duta dari Eropah dan Amerika Latin yang hadir untuk mengucapkan tahniah kepada Anifah termasuk Wakil Tetap Rusia ke PBB Vitaly Churkin.

Turut hadir Wakil Tetap Malaysia ke PBB Datuk Hussein Haniff dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat yang berpangkalan di Washington Datuk Dr Awang Adek Hussin. 

Anifah memberitahu Bernama beliau merasa gembira dan menghargai sokongan kuat tanpa tentangan kepada pemilihan Malaysia pada 16 Okt lepas.

"Majlis pada malam ini adalah sebagai penghargaan kesemua rakan-rakan yang bersama menyokong kami semasa undian pada 16 Okt," kata Anifah.

Hussein pula berkata sungguh pun Malaysia telah menang selesa dalam pemilihanitu, tugas sebenar untuk Majlis Keselamatan sepanjang dua tahun akan datang bakal bermula tidak lama lagi.

Walaupun Malaysia secara rasminya menduduki kerusi tidak tetap UNSC pada 1 Jan 2015, wakil tetap Malaysia akan dibenarkan di bawah peruntukan PBB untuk menghantar seorang pegawai kanan menghadiri mesyuarat UNSC sebagai pemerhati dari 21 November tahun ini untuk membolehkannya membuat persediaan dalam kerja UNSC.

"Kami akan memerhati dan mengamati kerja-kerja di UNSC semasa tempoh peralihan," kata Hussein yang memberitahu sebelum ini bahawa keutamaan Malaysia di UNSC adalah berusaha untuk keamanan dan kestabilan dunia dengan pendekatan sederhana.  

Datuk Seri Anifah Aman, UNSC, PBB

Artikel Berikut

Hidupan Liar Afrika Di Melaka

Artikel Lain