JOHOR BAHARU: Istiadat Persandingan Diraja antara Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pasangannya, Che' Puan Khaleeda Bustamam, berlangsung dalam suasana gilang gemilang di Istana Besar di sini malam Sabtu. Pasangan diraja kelihatan berangkat meninggalkan Istana Bukit Serene pada pukul 8.20 malam menuju ke Istana Besar. Tengku Mahkota, Tunku Ismail Sultan Ibrahim melambaikan tangan kepada rakyat jelata yang menunggu di sepanjang jalan menuju ke Istana Besar. Mereka menaiki kereta vintaj Mercedes Limousine Covertible, sambil diiringi lebih 10 pengiring bermotosikal dari Polis Diraja Malaysia dan juga anggota Timbalan Setia Negeri termasuk komando berpakaian medan. Sebahagian rakyat Johor tetap tenang berpayung di dalam hujan untuk menyaksikan pasangan pengantin Diraja pada Istiadat Persandingan Diraja antara Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan pasangannya, Che' Puan Khaleeda Bustamam yang disiarkan secara langsung di skrin besar di hadapan Dataran Bandaraya, Johor Baru pada malam Sabtu. Pasangan pengantin diraja berangkat tiba di istana tepat pada pukul 8.52 malam, disambut dengan pukulan 1,500 kompang dan bunga manggar. Istiadat persandingan disaksikan oleh sekalian anggota kerabat diraja, dif-dif kenamaan dan ditonton oleh lebih seribu rakyat jelata menerusi dua unit skrin gergasi di Dataran Bandaraya Johor Baharu. Majlis persandingan bermula pada pukul 9.20 malam dengan keberangkatan masuk Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah. Ini diikuti dengan keberangkatan masuk Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha; dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Hajah Kalsom. Seterusnya, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dan isteri Ho Ching dilihat melangkah masuk ke dalam dewan diikuti oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman. Pasangan diraja kemudian berangkat masuk ke dewan dengan Tunku Ismail memakai baju istiadat berwarna biru gelap sementara Che' Puan Khaleeda memakai busana berwarna putih. Sebelum memulakan istiadat merenjis dan tepung tawar, Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsudin membaca doa. Istiadat merenjis dan tepung tawar dimulakan oleh Sultan Brunei, diikuti isterinya, Sultan Pahang dan Sultanah, Sultan Johor dan Raja Zarith Sofiah dan Nenda Sultan Ismail, Enche Besar Hajjah Khalsom. Istiadat itu kemudiannya diakhiri dengan ibu Che' Puan Khaleeda, Aziyah Abdul Aziz. Majlis dan siaran langsung diakhiri dengan keberangkatan keluar pasangan pengantin diraja dan tetamu majlis dari dewan Istana Besar bagi memulakan acara santapan diraja. Antara yang turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Juga hadir bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah. Sementara itu, hujan lebat di bandaraya ini tidak menghalang lebih seribu rakyat menyaksikan siaran langsung Istiadat Persandingan Diraja melalui dua unit skrin gergasi disediakan Majlis Bandaraya Johor Baharu. Orang ramai mula membanjiri dataran bandaraya seawal pukul 5 petang. Ramai juga kelihatan berkumpul di sepanjang jalan kira-kira tiga kilometer antara Istana Bukit Serene dan Istana Besar, bagi menyaksikan kelibat pasangan diraja itu.