IPOH: Seorang doktor gigi ditemui mati tertiarap dalam longkang di Taman Canning, dekat sini, pada Sabtu. P. Nanthakumaran, 69, ditemui oleh adik perempuannya ketika hendak membuang sampah di kawasan rumahnya pukul 11.06 pagi tadi. Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komsioner Sum Chang Keong berkata, mendiang dipercayai terjatuh ke dalam longkang kecil selepas memakir kereta di hadapan rumahnya. Beliau berkata, mendiang telah dihanyutkan oleh arus deras di dalam longkang itu sejauh kira-kira 20 meter. "Mangsa (mendiang) dikatakan keluar rumah pada pukul 10 malam (malam tadi) untuk bersantai. Anggota keluarganya mengesyaki mangsa tidur di rumah rakannya kerana ketika itu hujan lebat," katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu. Sum berkata, hasil pemeriksaan mendapati doktor gigi itu tidak mengalami sebarang kecederaan. "Siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang kekerasan berunsur jenayah dan barang peribadi mangsa berada dalam keadaan baik," katanya. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. Sum berkata, hasil bedah siasat mendapati lelaki berkenaan meninggal dunia akibat lemas.