NIBONG TEBAL: Polis sedang menunggu laporan bedah siasat sepasang kaki dan dua ketulan daging manusia yang ditemui di tempat pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal di sini. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Supt Shahurinain Jais berkata bedah siasat dijangka dibuat di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini hari ini. "Sepasang kaki itu masih belum dikenal pasti pemiliknya, sama ada ia milik orang mati atau yang masih hidup kerana polis masih belum dapat laporan bedah siasat. "Setakat ini belum dapat dikaitkan kes itu dengan penemuan mayat tanpa kepala dan kaki yang ditemui di Taman Botani, George Town sehari sebelum penemuan kaki berkenaan, polis juga masih menunggu ujian pemadanan DNA," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Katanya usaha mengumpul bukti lanjut di kawasan tempat pembuangan sampah di Pulau Burung masih diteruskan dan setakat ini tiada sebarang petunjuk baharu. Sementara itu, Shahurinain berkata identiti mayat wanita dipercayai warga asing yang ditemui di Taman Botani itu masih belum dapat dikenal pasti. Katanya polis juga masih dalam usaha mengesan kepala wanita berkenaan yang dipercayai mati dalam tempoh dua hari, dan beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung dua kes berkenaan agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan. Dua hari lepas badan seorang wanita tanpa kepala dan kaki ditemui di dalam beg pakaian di Taman Botani, George Town sementara semalam sepasang kaki dipercayai milik mangsa pula ditemui di tempat pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal. Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi dilaporkan berkata kaki hingga paras lutut itu dijumpai dalam keadaan terpisah beberapa meter antara satu sama lain kira-kira pukul 12 tengah hari. Katanya kaki sebelah kanan dijumpai orang awam manakala sebelah lagi ditemui anggota polis yang memeriksa kawasan itu. Sepasang kaki itu dipercayai dibawa dari George Town dekat sini memandangkan kawasan longgokan sampah itu merupakan tempat pengumpulan sampah yang dibawa dari bahagian pulau di Pulau Pinang.