CAMERON HIGHLANDS: Paras air di Empangan Sultan Abu Bakar di Lembah Bertam di sini dilaporkan berada pada paras normal iaitu 3,498 meter setakat 10.30 pagi Ahad. Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Wan Zahari Wan Busu berkata, walaupun berlaku hujan lebat sekejap-sekejap malam tadi, paras air di empangan berada pada tahap stabil. "Semalam paras air di empangan berkenaan mencatatkan 3,500 meter iaitu pada paras normal. Paras air melebihi 3,500 meter dikategorikan berada pada paras bahaya. "Bagaimanapun penduduk di sekitar Lembah Bertam dan Ringlet tidak perlu merasa bimbang kerana pihak bomba dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa memantau keadaan semasa di empangan itu," katanya ketika dihuhungi Bernama di sini, Ahad. Sementara itu, tinjauan Bernama di pusat pemindahan mangsa banjir di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet pagi ini mendapati mangsa banjir dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bagi tujuan membersihkan rumah masing-masing. Bagaimanapun, mereka masih tidak dibenarkan menetap di rumah masing-masing ekoran faktor cuaca yang tidak menentu dan hanya dibenarkan pulang untuk tujuan membersihkan rumah sahaja. Keadaan cuaca di sini pagi ini adalah cerah. Dalam kejadian pukul 6.30 petang Rabu lepas, penduduk di tebing Sungai Bertam dekat sini diarahkan berpindah apabila air Empangan Sultan Abu Bakar dilepaskan secara berperingkat ekoran parasnya yang semakin meningkat akibat hujan lebat. Sementara itu, Pekan Ringlet juga dilanda banjir kilat apabila air di sungai berhampiran naik melebihi paras tebing ekoran hujan lebat selama sejam. Dalam kejadian itu, lima mangsa turut terkorban, manakala lima lagi cedera.