Pegawai Operasi Zon I Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Mohd Hafizi Hassan berkata Mohd Yahya Zakri, 24, dari Tikam Batu dekat Sungai Petani, ditemui kira-kira 10.30 pagi.
"Mangsa dijumpai di luar kawasan hutan peranginan tersebut oleh penduduk kampung yang terus menghubungi pihak bomba untuk memaklumkan tentang mangsa," katanya ketika dihubungi di sini, Rabu.
Beliau berkata mangsa dalam keadaan sihat dan dibawa ke Hospital Jitra untuk pemeriksaan lanjut.
Mangsa dikatakan ke kawasan peranginan itu bersama-sama keluarganya sebelum didapati hilang dan setelah menyedari kehilangan mangsa, seorang keluarganya menghubungi bomba pada 2.49 petang, Selasa.
Sepasukan 40 anggota bomba dari Balai Bomba Jitra, Balai Bomba Alor Setar dan Balai Bomba Kuala Nerang menyertai gerakan mencari dan menyelamat mangsa.