GEORGE TOWN: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang menyamar sebagai anggota polis dan memperdaya wanita untuk melakukan hubungan seks dengannya sebelum memeras ugut mereka, dikenal pasti sebagai seorang anggota yang menjalankan aktiviti Community Policing dan anggota Pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela). Kad kuasa milik suspek yang dirampas oleh polis disahkan sebagai tulen. Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek merupakan seorang bekas penghuni Sekolah Henry Gurney di Melaka. "Kami menahannya di sebuah kedai kopi dekat dengan rumahnya di Paya Terubong pada Sabtu hasil maklumat orang ramai. "Kami kemudiannya memeriksa rumah suspek dan menemui satu uniform polis dengan pangkat inspektor dalam tempoh percubaan, dua pistol mainan dan sepasang gari serta walkie-taklie. "Suspek kemudiannya mengakui menyamar sebagai 'Inspektor Vijay' untuk memperdayakan wanita," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di Jalan Patani di sini, Selasa. Polis turut merampas wang sebanyak RM1,205, empat telefon bimbit, sebuah komputer tablet dan beberapa resit kedai pajak gadai. Mior Faridalathrash memberitahu, modus operandi suspek adalah 'memburu' mangsa menerusi aplikasi mesej dan bermain cinta dengan mereka. Selepas melakukan hubungan seks dengan wanita terbabit, dia akan memeras ugut mangsa dengan mengancam untuk memuat naik video seks yang dirakamnya secara rahsia. Beliau berkata, polis percaya suspek menggunakan taktik sama untuk memperdaya sekurang-kurangnya lebih lima wanita melibatkan wang sebanyak RM20,000 dalam tempoh dua bulan lalu. Mangsa terbaharu suspek adalah seorang jururawat berusia 21 tahun yang terpaksa menggadai rantai emas milik ibunya sebanyak RM10,000 sebagai bayaran yang dikehendaki suspek. Mangsa membuat laporan polis mengenai perkara itu selepas bersemuka dengan ibunya.