suria

Elak Semangat Nasionalisme Sempit Untuk Jadi Komuniti Asean - PM

Najib bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev sempat bergurau semasa sesi bergambar ketika menghadiri majlis makan malam sempena Sidang Kemuncak Asean ke-25 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Myanmar (MICC) di Nay Pyi Taw, Rabu.-fotoBERNAMA
NAY PYI TAW:Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semangat nasionalisme yang sempit perlu dielak kerana ia bertentangan dengan semangat Asean untuk menjadi sebuah komuniti menjelang akhir tahun depan.

Perdana Menteri berkata, ideologi keterlaluan dan ekstrem dalam kalangan negara Asean juga seharusnya tidak timbul demi menjaga keamanan dan keselamatan di rantau ini.

Selain itu, semua anggota Asean perlu memberi komitmen untuk mencapai visi mewujudkan Komuniti Ekonomi Asean menjelang 2015, katanya kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri sidang plenari Asean sempena Sidang Kemuncak Asean ke-25 di sini, Rabu.

Dalam sidang plenari itu, negara-negara Asean turut membincangkan keperluan visi Asean pasca 2015 dengan Najib mencadangkan agar Asean melihat 10 tahun ke hadapan serta kajian separuh penggal diadakan memandangkan dunia boleh berubah dengan pantas.

"Jadi, apa juga perancangan perlu diubah suai mengikut keadaan semasa," katanya.

Najib berkata, tema 'Asean Berpaksi Rakyat' yang dicadangkan Malaysia apabila mengambil alih pengerusi Asean tahun depan mendapat sambutan dalam kalangan negara anggota.

"Asas kepada penerimaan yang kita lakukan mestilah diterima oleh rakyat, jadi rakyat mesti memahami apa sebenarnya Asean dan apa yang dilakukan oleh Asean," katanya.

Pada sidang plenari itu juga, Najib berkata, beliau turut membangkitkan mengenai tindakan bersifat tarif tanpa sempadan dalam kalangan negara Asean yang menyebabkan perdagangan antara negara anggota tersekat.

"Terutamanya dari segi kelewatan proses urusan kastam, pelabelan dan syarat-syarat lain yang dikenakan," katanya.

Selain itu, perkara lain yang dibincangkan ialah rundingan perdagangan bebas antara Asean dengan enam negara lain iaitu India, China, Korea Selatan, Jepun, Australia dan New Zealand.


Artikel Berikut

Artikel Lain