SEREMBAN: Polis sedang menyiasat sama ada seorang murid prasekolah di sebuah sekolah rendah dekat sini terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah terbabit atau ditolak oleh murid lain. Ketika kejadian berlaku, murid berusia enam tahun itu dipercayai dalam perjalanan ke tingkat dua untuk bertemu ibunya yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Paroi dekat sini. Insiden itu berlaku kira-kira pukul 1 petang, Rabu. Beberapa saksi mendakwa murid tersebut tersandung lalu terjatuh, manakala ada yang mendakwa dia terjatuh dari tingkat tiga ke tingkat dua. Timbul juga dakwaan bahawa dia ditolak oleh seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI). Bapa murid itu membuat laporan polis mengenai insiden itu yang diketahuinya daripada salah seorang guru di sekolah tersebut. Guru tersebut memaklumkan kepada bapa murid itu bahawa anak lelakinya terjatuh dari tingkat dua. Beliau berkata, anaknya mengalami pelbagai kecederaan dan sedang dirawat di unit rawatan rapi di Hospital Tuanku Ja'afar di sini. Selain kecederaan di kepala, murid lelaki itu turut mengalami patah tangan kiri dan kaki kanan. Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Kalsom Khalid mengesahkan insiden itu tetapi maklumat mengenainya tidak lengkap. Sekolah tersebut diminta untuk memfailkan laporan berhubung perkara itu.