suria

Pengislahan Dalam Umno Perlu Bermula Dengan Muhasabah Diri - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak
JOHOR BAHARU: Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat mengingatkan anggota parti bahawa proses pengislahan Umno perlu bermula dengan muhasabah diri dan seterusnya melakukan perubahan dalam usaha untuk menguatkan parti.

Perdana Menteri berkata proses pengislahan bukan terletak kepada kepimpinan tertinggi Umno semata-mata tetapi mesti merangkumi kesemuanya termasuk akar umbi.

"Pengislahan bermaksud kita ada motivasi untuk berjuang demi kepentingan parti. Kalau ahli Umno disenangi dan diyakini, itu merupakan proses pertama kebolehpercayaan pada Umno," katanya ketika berucap sebelum merasmikan Konvensyen Umno Johor di sini, Jumaat.

Beliau turut menegur sikap sesetengah anggota Umno yang lebih mementingkan kepentingan diri sendiri dan kurang semangat cintakan parti.

"Macam dulu, bila Tunku Abdul Rahman (presiden Umno ketika itu) tidak cukup duit untuk pergi London (runding tentang kemerdekaan Tanah Melayu (kini Malaysia)), ada ahli-ahli yang menghulurkan bantuan tetapi sekarang, bila minta buat kerja, ada yang tanya, apa yang dapat," kata Najib secara sinis, mengundang sorakan daripada lebih 800 perwakilan Umno Johor yang hadir pada konvensyen dua hari itu.

"Jangan hanya kaya material tetapi tidak kaya daya juang dan semangat sayangkan parti. Kalau kita ada semangat cintakan parti, kita akan buat kerja yang luar biasa," kata Najib.

Beliau berkata pengislahan perlu bermula dengan bermuhasabah diri dan seterusnya melakukan perubahan.

"Kita harus sedar dalam mengamalkan demokrasi terbuka ini, kesudahannya, 'it's a game of numbers'. Kita harus menambah lagi sokongan kita yang seterusnya diterjemahkan kepada bilangan kerusi yang semakin meningkat untuk menjamin kekuatan kita yang lebih utuh.

"Kalau parti kuat, kalau parti masih berkuasa, perjuangan boleh diteruskan," kata Najib.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata anggota Umno perlu berfikiran terbuka sekiranya mahu menarik lebih ramai golongan muda menyertainya untuk menjadikan parti kekal relevan.

"Kalau kita terpaksa bagi laluan, bagilah laluan pada orang lain (orang muda contohnya), Barulah parti kita dilihat sebagai parti dinamik, parti segar dan parti berwibawa," katanya.

Merujuk ucapan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyentuh pengislahan moden dan progresif, inklusif, Melayu dan Islam tanpa mengetepikan kaum lain, Najib berkata itulah antara ramuan dan gerak kerja yang diperlukan untuk kelangsungan parti pada masa hadapan.

"Tidak salah saya cakap yang proses kebangkitan semula Umno adalah amat wajar bermula di sini (Johor). Di bumi inilah kebangkitan semula Umno Johor dan Barisan Nasional sebagai tunjang kekuatan kita. Saya amat sedar yang kelangsungan mesti dimulakan dengan kubu kuat Umno," kata beliau.

Konvensyen yang bermula hari ini turut dihadiri Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Artikel Lain