PETALING JAYA: Penyerahan semula kitab Bible yang mengandungi perkataan "Allah" dilaksanakan dengan syarat ketat iaitu bahan itu tidak diedarkan di sekitar Selangor, kata Majlis Agama Islam Selangor (Mais). Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, kitab itu yang diserahkan kepada Biskop dari Kuching, Datuk Bolly Lapok pada Jumaat, hanya untuk kegunaan penganut Kristian di Sarawak. "Penyelesaian itu adalah sikap hormat menghormati yang wujud, selain memahami sensitiviti agama lain di negara ini. "Sultan Selangor juga mengharapkan penganut agama lain turut melindungi sensitiviti umat Islam di negara ini, terutama di Selangor dan berharap pengedaran dan cetakan kitab Bible yang mengandungi perkataan "Allah" tidak lagi dilakukan kerana ia melanggar Enakmen Agama Bukan Islam 1988," katanya. Adzib menjelaskan bahawa kes membabitkan rampasan 321 kitab Bible daripada premis Persatuan Bible Malaysia (BSM) pada Januari lalu pada mulanya sudah dirujuk kepada Pejabat Pendakwaraya untuk tindakan lanjut. Bagaimanapun, diputuskan bahawa tiada tindakan yang perlu dikenakan terhadap mana-mana pihak berhubung insiden itu. "Pihak Pendakwaraya mengarahkan supaya pelupusan kitab itu dilakukan mengikut undang-undang. "Apabila perkara itu disampaikan kepada Sultan Selangor, arahan dikeluarkan supaya Mais melupuskannya dengan menyerahkan semua kitab Bible yang dirampas itu kepada Persatuan Gereja Sarawak," katanya. Majlis ringkas penyerahan semula kitab berkenaan diadakan pagi Jumaat sambil disaksikan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali.