suria

Cameron Highlands: Jalan Rosak, Rugi RM8 Juta - Fadillah

KUCHING: Banjir kilat di Ringlet, Cameron Highlands pada 5 November lalu merosakkan jalan persekutuan mengakibatkan kerugian RM8 juta, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.Beliau berkata, sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya akan mencari dana untuk memperbaiki kerosakan akibat kejadian itu.

"Untuk makluman jalan yang rosak itu juga sudah dibersihkan," katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak projek Lebuhraya Pan Borneo, di Batu 10 Jalan Kuching-Serian, Sabtu.

Kejadian banjir dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands itu mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.

Sementara itu, Fadillah berkata, biarpun kejadian banjir itu di bawah tanggungjawab Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta beberapa kementerian lain, namun kementeriannya akan turut menghulurkan bantuan dari segi teknikal.

"Kementerian Kerja Raya akan memberi nasihat teknikal melalui Jabatan Kerja Raya Malaysia dan Jabatan Kerja Raya Pahang kepada selain tugasan membantu memperbaiki jalan-jalan persekutuan yang terjejas," katanya. - BERNAMA

banjir, cameron highlands

Artikel Lain