suria

Bomba Dapat Tambahan Aset Bernilai RM40 Juta, Persiapan Hadapi Banjir

PORT DICKSON: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mendapat tambahan aset membabitkan peruntukan RM40 juta bagi persiapan menghadapi musim banjir hujung tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wira Wan Mohd Nor Ibrahim berkata penambahan aset itu meliputi 100 lori, 95 kenderaan pacuan empat roda dan 50 bot aluminium.

"Semua aset yang ditambah ini dalam proses penghantaran dan akan diagihkan di seluruh negara sebelum hujung tahun ini.

"Penambahan aset ini berdasarkan keperluan mengikut keadaan banjir pada tahun lepas," katanya.

Pada masa ini JBPM memiliki 100 lori, kenderaan pacuan empat roda (150) dan bot aluminium (600 unit), katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Kebombaan dan Inovasi JBPM di Dataran Sri Kemang, Teluk Kemang di sini, Ahad.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah JBPM (Pembangunan) Datuk Amer Yusof dan Penolong Ketua Pengarah JBPM (Bahagian Keselamatan Kebakaran) Datuk Rusmani Muhamad.

Mengenai persiapan banjir, Wan Mohd Nor berkata kesemua peralatan operasi banjir yang diperlukan kini diletakkan dalam keadaan bersedia dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

"Bagi persediaan operasi banjir pada tahun ini, Pelan Kontigensi Banjir juga telah disiapkan dan anggota bomba yang terlibat diberi latihan secara berterusan untuk menghadapi keadaan tersebut.

"Latihan seperti menyelamat dalam air, latihan antara agensi dan sebagainya sentiasa dijalankan bagi memastikan anggota kita sentiasa dalam keadaan bersiap sedia," katanya.

Wan Mohd Nor berkata pihaknya juga mengenal pasti kawasan di beberapa negeri yang berisiko tinggi dilanda banjir jika hujan lebat berterusan.

Sementara itu, katanya mengikut perancangan menjelang tahun 2020, JBPM memerlukan tambahan 150 balai bomba kategori D iaitu saiznya lebih kecil daripada balai bomba biasa yang terdapat di kawasan bandar.

"Balai bomba kategori D diperlukan kerana kita dapat berada lebih dekat dengan bencana dan sebagainya, manakala tempoh tindak balas dapat dikurangkan dan dapat menyelamatkan nyawa yang terancam.  Ini keutamaan kami," katanya.

Artikel Lain