suria

Proton Satria Terbabas Dua Maut, Dua Cedera

KUANTAN: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta Proton Satria yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 362 Jalan Kuala Lumpur-Kota Baharu, dekat Raub pada Ahad.

Dalam kejadian pada 7.45 pagi itu, pemandu kereta, Sharul Firdaus Abdul Latif, 23, berasal dari Felda Tersang, Raub dan penumpang hadapan, Muhammad Norhaffis Ansari, 24, beralamat di Kampung Pulai, Batu Malim, Raub, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Raub DSP Abdul Rahim Abdul Razak berkata rakan mereka, Muhamad Saiful Amirul Rosli, 18, dari Kampung Gong Pak Jin, Mengabang Telipot, Kuala Terengganu, cedera parah akibat kedua-dua tangannya patah.

Katanya ketika nahas, kesemua mereka sedang dalam perjalanan dari Raub menghala ke Bentong dan kenderaan terbabit dipercayai terbabas sebelum masuk ke dalam longkang konkrit di kiri jalan, katanya ketika dihubungi di sini.

Abdul Rahim berkata siasatan awal mendapati keadaan jalan adalah lurus dan pemandu turut memiliki lesen memandu sah.

Menurutnya polis turut mengambil sampel darah mangsa yang terlibat untuk ujian dadah dan alkohol.

Mayat dihantar ke Hospital Raub untuk bedah siasat dan mangsa yang cedera mendapat rawatan di hospital sama.

Proton Satria, Raub

Artikel Lain