KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem memberi amaran kepada taikun balak negeri itu supaya tidak cuba 'cari pasal' dengan terbabit dalam kegiatan pembalakan haram. Sambil melabelkan industri pembalakan di negeri itu sebagai korup, beliau berikrar akan 'mewujudkan rasa takut kepada Tuhan dalam kalangan mereka yang tidak jujur'. Adenan yang menjemput enam hartawan balak Sarawak supaya menandatangani ikrar integriti mengambil peluang memberi amaran berhubung kegiatan pembalakan haram yang berleluasan di negeri itu. Menamakan hartawan itu sebagai KTS, Rimbunan Hijau, Samling, Shin Yang, Ta Ann dan WTK, beliau menegaskan: "Jangan cuba cari pasal dengan saya." Manakala, mesej kepada pihak penguatkuasaan pula, katanya, mereka yang diamanahkan tugas itu tidak perlu bersikap toleransi apabila berdepan dengan pelaku kesalahan itu. Beliau juga menggambarkan situasi rasuah di negeri itu berada pada tahap paling buruk, sekaligus menandakan pegawai penguat kuasa tidak menjalankan tugas dengan berkesan. "Ada sesetengah daripada mereka ini berpura-pura tidak tahu. Alasannya mudah, sama ada mereka bodoh, penakut atau terbabit rasuah. "Takut kepada samseng atau ancaman lain tidak boleh menjadi alasan untuk tidak melakukan apa-apa. "(Kepada pelaku pembalakan haram) jangan cuba nak main-main dengan saya. Saya akan tahan anda dengan bantuan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan agensi-agensi lain," katanya yang menyebabkan hadirin di kalangan menteri kabinet, penjawat awam dan hartawan balak negeri itu tergamam. Adenan berkata, aktiviti pembalakan haram memberikan Sarawak reputasi yang buruk di peringkat antarabangsa dan kerana itu kerajaan negeri serius memerangi amalan rasuah terutama yang membabitkan industri balak. Sehubungan itu, sebagai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Negeri, beliau memutuskan untuk tidak mengeluarkan lagi lesen pembalakan baharu dan mengingatkan pemegang lesen sedia ada supaya memantau aktiviti kontraktor atau sub-kontraktor bagi memastikan mereka tidak terlibat dalam pembalakan haram. Pada majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) untuk agensi kerajaan dan swasta dalam sektor perhutanan negeri itu, Adenan berkata, menerusi kerjasama SPRM, kerajaan negeri menganjurkan beberapa siri seminar mengenai integriti untuk kira-kira 2,000 anggota penguat kuasa di seluruh negeri ini. Sehubungan itu, katanya, semua menteri Kabinet dan menteri muda Sarawak akan membuat ikrar integriti menentang amalan rasuah dalam masa terdekat. Katanya, beliau akan meminta semua pegawai dan kakitangan jabatan dan badan berkanun kerajaan negeri menandatangani ikrar integriti itu dahulu sebelum membawanya kepada semua anggota Kabinet negeri. "Saya yakin menteri dan menteri muda akan menandatangani ikrar ini dalam masa terdekat," katanya. Menurutnya, pembangkang mempersoalkan mengapa anggota Kabinet lain tidak mengikut langkah beliau berikrar untuk tidak membenarkan anggota keluarga dan saudara mara memohon lesen konsesi balak atau tanah negeri, yang dilakukannya pada Jun tahun ini. "Adalah tidak adil untuk mengatakan mereka (menteri dan menteri muda) takut untuk menandatangani ikrar integriti itu (hanya) kerana mereka tidak melakukannya lagi. Adalah tidak adil menuduh mereka tidak jujur," katanya.