suria

Puteri Umno Bawa Isu Pengangguran Ke Perhimpunan Agung

Mas Ermieyati Samsudin

KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri Umno akan membawa isu pengangguran dalam kalangan generasi muda, sebagai usul untuk dibincangkan dalam mesyuaratnya pada Perhimpunan Agung Umno 2014 minggu depan.

Ketuanya, Mas Ermieyati Samsudin berkata, tindakan itu bertujuan membawa suara akar umbi berlandaskan kepada permasalahan yang menjadi keresahan golongan muda hari ini.

Katanya, isu itu bakal disentuh berdasarkan perkembangan semasa iaitu 69 peratus (26,030) pelajar wanita dan 31 peratus (11,437) pelajar lelaki diterima masuk di 10 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi aliran sains serta sastera bagi sesi Akademik 2014/2015.

"Pergerakan Puteri gembira dengan perkembangan terkini yang menyaksikan lebih ramai wanita muda berilmu dan ke hadapan tetapi bagaimana dengan pasaran kerja, adakah pasaran kerja di luar sana memberi peluang yang sama untuk wanita sepertimana dinikmati lelaki.

"Isu ini akan dikupas dengan sebaik mungkin dalam usaha mengurangkan graduan wanita menganggur dan perkara itu akan saya sentuh dalam ucapan dasar Ketua Puteri Umno," katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Mas Ermieyati berkata, setiap hari beliau menerima sistem pesanan ringkas (SMS), inbox Facebook dan WhatsApp daripada anak muda yang meminta bantuan mendapatkan pekerjaan.

"Sebab itu kalau ada maklumat mengenai peluang pekerjaan, saya akan kongsi dalam Facebook agar mereka mendapat manfaat daripada perkongsian itu," katanya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati yang juga anggota Parlimen Masjid Tanah berkata, pergerakan itu akan memberi tumpuan aspek kehidupan lebih baik untuk generasi muda selain memperbanyakkan program berbentuk agama yang dapat membentuk sahsiah serta cara pemikiran anak muda.

"Fokus Puteri Umno juga tidak akan lari daripada tiga perkara pokok iaitu agama, bangsa dan negara selain mengambil kira soal ekonomi, pendidikan, sosial dan agama yang mana kepentingan wanita muda akan diambil kira sebaik mungkin," katanya.

Beliau turut memberitahu pergerakan sering mengadakan bengkel serta perbincangan bersama jurucakap dari setiap negeri bagi meningkatkan kualiti perbahasan.

"Tiga bulan sebelum, kita akan hantar mereka mengikuti kursus yang diterajui ilmuan berpengalaman dalam pelbagai bidang. Saya harap dengan persiapan lebih awal, akan menonjolkan kematangan anggota Puteri Umno.

"Jika Sebelum ini mungkin kurangnya pendedahan kerana rata-rata mereka iaitu 80 peratus adalah pemimpin baharu. Mungkin kerana kebanyakan mereka kurang pendedahan dan tidak biasa berucap di hadapan khalayak," katanya.

Tambahnya, anggota sayap itu tidak akan menampilkan pembahas yang sama setiap tahun kerana ingin memberi peluang kepada anggota lain yang mempunyai bakat agar tidak dipersiakan.

Katanya, beliau mahu melihat setiap anggota Puteri Umno menjadi pemimpin dan akan mula membentuk, mengasuh serta mendidik dari awal lagi bagi merealisasikan hasrat itu.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain