suria

Sultan Pahang Lawat Cameron Highlands Rabu Ini

Sultan Ahmad Shah.
KUANTAN: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dijangka mencemar duli berangkat ke Cameron Highlands Rabu ini, difahamkan bagi melihat sendiri permasalahan di kawasan tanah tinggi tersebut.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana negeri di sini, Isnin.

"Betul (Sultan Pahang) akan berangkat (ke Cameron Highlands) pada 19 November, bagaimanapun perkara itu tertakluk pada perubahan," katanya. 

Masalah penerokaan tanah secara haram di tanah tinggi itu mula mendapat perhatian setelah Pekan Ringlet dilanda banjir lumpur sehingga mengorbankan lima mangsa dan mencederakan lima yang lain dalam kejadian pada 5 November lepas.
 
Ia dipercayai berpunca daripada kegiatan penerokaan tanah secara haram secara berleluasa di kawasan itu yang turut melibatkan pendatang asing. 

Sementara itu, ketika diminta mengulas pelan kerajaan negeri dalam memulihkan kembali kawasan pertanian dan peranginan itu, Muhammad Safian berkata satu pelan jangka panjang telahpun disediakan. 

"Perancangan berhubung perkara itu telah ada, nanti akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob," katanya. 

Dalam masa yang sama, katanya, di Cameron Highlands juga telah disediakan sebanyak 26 pusat pemindahan banjir yang boleh menempatkan 2,600 orang.

Katanya, keadaan banjir mungkin tidak seteruk kawasan tanah rendah di negeri ini, namun kawasan itu tetap terdedah dengan banjir lumpur dan tanah runtuh jika hujan berterusan. 

Untuk itu beliau telah meminta Jabatan Bomba Dan Penyelamat negeri serta Jabatan Mineral dan Geosains mengenal pasti kawasan di Cameron Highlands yang berisiko berlakunya tanah runtuh dan banjir terutama di kawasan lombong. 


Artikel Berikut

Artikel Lain