KUALA LUMPUR: Polis mengesan syarikat perkhidmatan kurier dari Guangzhou, China yang kurang dikenali digunakan sebagai medium oleh sindiket dadah didalangi warga Nigeria untuk menyeludup dadah ke negara ini. Sindiket dadah warga Nigeria itu juga dipercayai telah mempunyai komuniti di negara berkenaan dalam menjalankan kegiatan jenayah itu. Bagaimanapun, taktik licik sindiket itu yang sentiasa mengubah modus operandi mereka, terus dibongkar apabila polis merampas dadah jenis syabu seberat 21.9kg bernilai RM2.2 juta di sekitar Lembah Klang. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata polis turut menahan lima lelaki warga Nigeria berusia 27 hingga 40 tahun, dalam lima serbuan menerusi 'Ops Candle Fish' sejak Rabu lepas hingga Isnin. "Sindiket ini menggunakan syarikat perkhidmatan kurier yang kurang dikenali bagi mengaburi pihak berkuasa mengesan kegiatan mereka yang menggunakan pelbagai kaedah untuk menyorokkan bungkusan dadah," katanya dalam sidang media di sini, Selasa. Beliau berkata dalam serbuan pertama di Taman Putra Perdana, Puchong, Rabu lepas kira-kira 4.15 petang, polis menahan seorang lelaki warga Nigeria dan merampas satu kotak berisi tujuh set 'Printer Catridge' yang mengandungi 1.03kg syabu yang disorok di dalamnya. Sehari kemudian kira-kira pukul 7 malam, polis merampas sebuah kotak yang tidak dituntut di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya yang mengandungi 5.04kg syabu yang disorok di dalam 10 buah beg galas yang telah diubah suai, kata Noor Rashid. "Sejam kemudian, polis menahan tiga lelaki warga Nigeria di hadapan pusat beli-belah Sunway Pyramid (di Petaling Jaya) dan merampas 2kg syabu yang disembunyikan di dalam plastik dan kotak makanan dalam kenderaan mereka. "Dalam serbuan keempat pada Sabtu lepas kira-kira 1 tengah hari, polis menahan seorang lagi lelaki warga Nigeria di syarikat kurier di Petaling Jaya dan merampas empat buah kotak berisi empat silinder besi yang mengandungi dadah syabu seberat 8.6kg yang disorok di dalamnya," katanya. Noor Rashid berkata dalam serbuan terakhir pukul 5.20 petang semalam, polis merampas dua buah kotak yang tidak dituntut di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya dan hasil siasatan mendapati kotak tersebut berisi 5.52kg syabu yang disorok di dalam 50 buah tempat duduk basikal yang telah diubah suai. "Sindiket biasanya meletakkan alamat tertentu untuk penghantaran terus ke lokasi dan ada di antara alamat berkenaan merupakan rumah kosong dan sebagainya tetapi ada juga yang hanya menggunakan alamat syarikat kurier, kerana itu ada kurier yang tidak dituntut kerana mereka kurang yakin dan bimbang dikesan polis. "Mereka yang ditahan menggunakan pas lawatan sosial dan pas pelajar. Kesemua mereka ditahan reman dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. Katanya polis juga akan memantau setiap kurier dari syarikat perkhidmatan kurier China bagi mengekang kegiatan penyeludupan menggunakan kaedah ini. Seksyen 39B memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.