KUALA LUMPUR: KD Perantau iaitu kapal hidrografi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sedang diselenggara dilapor tenggelam akibat kebocoran di Limbungan Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak malam Selasa. Menurut TLDM, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku dalam kejadian kira-kira 11.17 malam itu dan usaha untuk menyelamatkan kapal itu sedang giat dilaksanakan oleh Limbungan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) dengan dibantu TLDM. "Hampir kesemua peralatan mudah alih seperti motor, pam dan peralatan pengukuran telah dikeluarkan dari kapal tersebut sebelum kejadian berlaku berdasarkan prosedur biasa apabila kapal menjalani pembaikan," demikian menurut kenyataan TLDM pada Rabu. TLDM akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian. KD Perantau yang digunakan untuk operasi pengukuran hidrografi, pemerhatian meteorologi serta cerapan oseanografi sedang menjalani rutin kerja penyelenggaraan pasang pulih pada 10 Nov lepas. Ia dijangka siap sebelum dikembalikan kepada TLDM pada 10 Ogos tahun depan, kata TLDM. KD Perantau yang dibina di Limbungan Hong Leong-Lursen, Pulau Pinang ditauliahkan pada 12 Okt 1998.