KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) menyediakan 20 masakan kampung bercirikan negeri kepada kira-kira 20,000 delegasi, perwakilan dan petugas media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-68 pada 25 hingga 29 November ini. Chef Eksekutifnya, Suzaini Mohamed Salih berkata, beliau bersama 50 tukang masak dan dibantu 150 pembantu dapur diberi kepercayaan untuk menyajikan menu terbaik sepanjang perhimpunan itu. "Saya cukup bertuah kerana dapat bekerjasama dengan 50 tukang masak bertauliah dan berpengalaman dalam memberikan menu terbaik dan bermutu tinggi," katanya yang akan bertugas buat kali keempat pada perhimpunan ini. Beliau berkata, antara menu masakan kampung yang baharu akan disajikan termasuk daging rendang Negeri Sembilan, ayam percik Seri Kelantan, daging masak lemak cili padi, daging masak kicap utara dan ikan jenahak masak asam pedas. "Ini adalah signature dish kami yang akan dihidangkan pada kali ini. Namun terdapat juga beberapa hidangan kampung dari negeri-negeri lain di seluruh negara yang akan memberi kelainan untuk edisi kali ini," katanya. Pada kali ini, Suzaini berkata sebanyak 5,500 kilogram (kg) beras, 500kg gula, 350 tin minyak masak, 7,000 telur, 700 kg bawang, 4,900 kg daging lembu, 6,500 kg ayam, 1,300 liter santan dianggarkan digunakan untuk menyediakan menu hidangan kepada semua perwakilan, delegasi dan petugas media yang hadir. Malah, katanya, sebanyak 2,500 kg buah-buahan yang terdiri daripada epal, tembikai, pisang, nenas, mangga, ciku, oren, betik dan kiwi turut dihidangkan sepanjang tempoh itu. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Putrade Property Management Sdn Bhd (Putrade), Datuk Maxson Abdullah Jaafar berkata, pihaknya telah melakukan beberapa penambahbaikan dan pengubahsuaian ke atas 17 bilik mesyuarat di Aras 2 dan 3 untuk kemudahan petugas media, delegasi dan perwakilan. Menurut beliau, pihaknya turut menyediakan bilik perubatan yang lebih selesa dan cekap berbanding tahun lalu dan menaik taraf kelajuan wifi di semua bilik mesyuarat yang baharu. "Kita membuat persiapan awal selama tiga bulan sebelum perhimpunan diadakan bagi memastikan segalanya berjalan lancar. "Persiapan sedang giat dilakukan dan Insya-Allah akan siap mengikut perancangan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis ikrar perkhidmatan terbaik di kalangan 318 kakitangan PWTC sempena PAU kali ini. Turut hadir Pengerusi Putrade Property Management Sdn Bhd, Datuk Seri Alies Anor Abdul. Katanya, pihak turut mengambil seramai 1,300 pekerja sambilan bagi membantu kakitangan tetap sedia ada sepanjang perhimpunan ini. "Berlaku sedikit penambahan pekerja sambilan tahun ini. Kebiasaannya kita ambil pekerja di kalangan pelajar lepasan sekolah kerana pada waktu perhimpunan diadakan dalam musim cuti sekolah," katanya. Sementara itu, Maxson berkata, seramai 600 anggota keselamatan akan ditempatkan untuk menjaga keselamatan dan memantau perjalanan perhimpunan itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingin berlaku.