suria

59,590 Pati Serah Diri Secara Sukarela Sejak Julai Lepas

Mustafa Ibrahim.

PUTRAJAYA: Kira-kira 59,590 pendatang asing tanpa izin (Pati) memanfaatkan tawaran Program Serah Diri Sukarela untuk pulang ke negara asal masing-masing sejak ia dilaksanakan pada Julai lepas.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Mustafa Ibrahim berkata, pihaknya menjangka lebih ramai Pati akan menyerah diri sebelum program itu tamat pada 31 Disember ini.

"Selepas program tamat, kita tidak akan bertolak ansur lagi dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap Pati dan majikan yang melindungi mereka," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan wakil Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Semenanjung di sini, Khamis.

Menerusi  program itu, yang juga dikenali sebagai 3+1, Pati yang menyerah diri secara sukarela akan dikenakan bayaran kompaun RM300 dan RM100 untuk pas khas.

Mustafa berkata, unit risikan Imigresen juga mengenal pasti tempat persembunyian Pati dan gerakan menggempur lokasi berkenaan akan dilaksanakan bila-bila masa termasuk di Cameron Highlands.

Beliau berkata, depot-depot tahanan di seluruh negara juga mampu menampung dan menempatkan Pati sebelum mereka dihantar pulang ke negara asal masing-masing.

Mustafa berkata, statistik daripada Januari hingga 19 November lepas menunjukkan seramai 27,082 Pati dan 462 majikan ditahan atas pelbagai kesalahan menerusi 4,922 operasi di seluruh negara.

"Angka itu menunjukkan jumlah Pati yang menyerah diri adalah lebih ramai, dan sekali gus boleh menjimatkan wang negara sebanyak RM2 juta sebulan untuk pengurusan mereka di depot tahanan di seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Mustafa berkata Jabatan  Imigresen bercadang mewujudkan pejabat cawangannya di Cameron Highlands untuk memudahkan pengurusan pekerja asing di kawasan berkenaan.

"Perkara itu akan diusulkan kepada pihak atasan secepat mungkin untuk mendapatkan kelulusan," katanya.

Artikel Lain