suria

Sultan Pahang Dukacita Laporan Cameron Highlands Ditawan 30,000 Pendatang

Sultan Ahmad Shah

CAMERON HIGHLANDS: Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah menzahirkan rasa dukacita terhadap laporan akhbar kononnya tanah tinggi Cameron Highlands ditawan 30,000 pendatang tanpa izin warga Bangladesh.

Laporan itu, titah baginda, tidak benar sama sekali.

"Ini semua tidak betul, tidak sampai 30,000, itu cuma khabar palsu. Kita tidak boleh bercakap tanpa ada informasi yang benar. Jangan cuba untuk menakutkan rakyat saya terutama sekali di Cameron Highlands.

"Laporan tanah runtuh dan kemudian datang pula muka depan (sebuah akhbar) Cameron Highlands akan ditawan warga Bangladesh, saya sendiri pun takut," titah baginda pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands di Tanah Rata di sini, Khamis.

Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob serta pimpinan kerajaan negeri Pahang.

Justeru, Sultan Pahang meminta pihak media supaya mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa terlebih dahulu sebelum membuat laporan dan berharap perkara sedemikian tidak berulang.

Titah baginda, kerajaan negeri akan bekerja keras untuk mengatasi masalah kemasukan pendatang tanpa izin bukan sahaja di Cameron Highlands, malah juga di daerah lain.

"Dia (pendatang) tak boleh menceroboh lagi negeri Pahang tanpa izin. Kami akan laksanakan peranan kami, saya raja pemerintah, (manakala) menteri besar, dan yang berkhidmat di negeri Pahang terutama sekali pegawai-pegawai daerah, ketua-ketua jabatan yang bekerja di Pahang, mereka setia kepada kerajaan," titah baginda.

Sultan Ahmad Shah bertitah baginda akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membincangkan tentang bantuan kerajaan persekutan kepada kerajaan negeri dalam membanteras masalah pendatang tanpa izin.

"Insya-Allah perdana menteri orang Pahang... tak kan dia tak sayang negeri dia, beliau seorang yang baik, saya akan menyokongnya. Dia buat kerja dengan baik, kita doa segala usaha yang dibuat perdana menteri akan dirahmati Allah untuk kebaikan rakyat di negara Malaysia, bukan rakyat Melayu sahaja, semua rakyat yang bermastautin di Malaysia," titah baginda.

Mengenai taklimat yang berlangsung kira-kira dua jam itu, baginda bertitah taklimat itu adalah berkaitan Cameron Highlands.

"Ia sangat berguna kepada saya, menteri besar dan yang berkenaan. Saya diberi maklumat apa yang berlaku di Cameron Highlands dalam masa sebulan lepas," titah Sultan Ahmad Shah.

Selepas mendengar taklimat, baginda berkenan mendengar masalah yang diadukan rakyat termasuk Setiausaha Persatuan Pekebun Sayuran Cameron Highlands Chay Ee Mong tentang operasi menahan pendatang tanpa izin yang menjejaskan kegiatan pertanian pekebun sayur.

Dalam pertemuan itu, baginda bercakap kepada Chay:" Saya Sultan Pahang, menteri besar dan pegawai saya akan ambil tindakan dan tindakan akan berterusan...ada perintah tetap, ada perkara-perkara yang tak boleh buat, jangan risau akan selesai masalah itu. Saya janji akan datang sini lagi Januari depan.

"Awak adalah rakyat dan saya raja, sebab itu saya datang Lembah Bertam sebab saya sayangkan rakyat saya tidak kira Melayu, Cina, India atau Orang Asli. Jika saya tak ambil berat terhadap awak saya tak datang sini," titah baginda.


Artikel Lain