suria

Empat Sekeluarga Maut, Kereta Dinaiki Bertembung Bas Ekspres

KUALA LIPIS: Empat sekeluarga maut selepas kereta Perodua Myvi yang dinaiki bertembung dengan sebuah bas ekspres dua tingkat di Kilometer 81 Jalan Lipis-Merapoh, dekat Kampung Kubang Rusa di sini, awal pagi Jumaat.

Pemandu kereta Ahmad Nor Sallahuddin Ahmad Zamberi, 28, dari Pengkalan Chepa, Kelantan yang merupakan seorang tentera dan pernah bertugas di Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Majidee, Johor Baharu, maut di tempat kejadian.

Sementara isterinya, Azian Ismail, 32, bersama sepasang anak mereka, Ahmad Abinubli Ahmad, 3, dan anak perempuannya, Airis Auta yang bakal mencecah usia setahun pada 13 Dis depan, meninggal dunia di Hospital Gua Musang, Kelantan semasa menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Lipis Supt Abdul Razak Hassan berkata kemalangan berlaku pada 2.30 pagi ketika mangsa sekeluarga dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan bas tersebut.

"Siasatan awal mendapati jalan di situ berselekoh dan berbukit namun keadaan terang kerana ada lampu jalan," katanya kepada Bernama Jumaat.

Beliau berkata, pemandu bas konsortium E-Mutiara Berhad, Che Zaidi Che Hamid, 40, bersama seorang pembantu dan 47 penumpang bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Polis kini sedang mengesan tempat kerja terkini Allahyarham Ahmad Nor Sallahuddin memandangkan mangsa dilaporkan tidak lagi bertugas di Kem Majidee.

Mayat Ahmad Nor Sallahuddin dihantar ke Hospital Daerah Lipis dan kesemua mangsa dijangka akan dibedah siasat pagi Jumaat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Lain