suria

59,765 Warga Asing Diusir Ke Negara Asal

KUALA LUMPUR: Sebanyak 59,765 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan, termasuk banduan asing yang telah tamat menjalani hukuman penjara, telah diusir ke negara asal pada tempoh 21 Januari hingga 20 November tahun ini.

Daripada jumlah itu, warga Indonesia mencatatkan bilangan paling tinggi iaitu 24,614 orang, diikuti Bangladesh (6,834 orang) dan Filipina (6,483 orang).

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafa Ibrahim berkata semua warga asing yang didapati bersalah melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang dikenakan hukuman dan tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Mereka yang melakukan kesalahan di bawah akta berkenaan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk proses penghakiman dan sekiranya didapati bersalah akan berhadapan dengan hukuman penjara dan sebatan," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Mustafa berkata seseorang warga asing boleh menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) sekiranya didapati melakukan kesalahan tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk masuk dan berada di Malaysia, tinggal melebihi tempoh pas yang dibenarkan dan gagal mematuhi syarat pas atau permit yang dikeluarkan.

Bagi kesalahan-kesalahan tersebut, mereka akan didakwa mengikut Seksyen 6(3) dan 15(4) akta yang sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Setelah menjalani proses penghakiman dan selesai menjalani hukuman di penjara, Jabatan Penjara akan menyerahkan banduan asing itu kepada Jabatan Imigresen untuk proses pengusiran ke negara asal.

Mustafa menasihatkan warga asing supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah atau melanggar undang-undang negara ini.

"Mereka yang didapati ingkar akan berhadapan dengan tindakan undang-undang termasuk diusir ke negara asal dan disenaraihitamkan daripada memasuki semula negara ini," katanya.

Warga Asing, Imigresen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain