suria

Polis, Tentera Akan Gempur Cameron Highlands Pada Waktu Malam

Banjir kilat yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan kerosakan teruk pada sebuah kebun dan juga tebing Sungai Bertam.

SERDANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AngkatanTentera Malaysia (ATM) akan menggerakkan anggota ke Cameron Highlands untuk menggempur kegiatan pembukaan tanah secara haram di situ pada waktu malam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata langkah itu diambil susulan perbincangannya dengan Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, berdasarkan laporan bahawa kegiatan itu sering dilakukan oleh pendatang asing tanpa izin (Pati) pada waktu malam.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) dan Panglima Angkatan Tentera (Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain) untuk menghantar anggota masing-masing supaya pada waktu malam kita akan membuat rondaan yang lebih menyeluruh dan kalau ada kegiatan yang menyalahi undang-undang kita akan ambil tindakan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Pertanian,Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) 2014, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), pada Sabtu.

Berhubung kebanjiran Pati di kawasan tanah tinggi itu, beliau berkata, penguatkuasaan lebih tegas dan berkesan akan dijalankan melalui kerjasama antara kerajaan negeri Pahang dan kerajaan pusat.

Najib berkata, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands akan melawat kawasan tanah tinggi itu Isnin ini bersama-sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Saya berharap hasil lawatan dan perbincangan bersama itu, kita akan membuat tindakan yang lebih berkesan dan kelemahan-kelemahan dari segi penguatkuasaan selama ini akan berubah kepada satu bentuk penguatkuasaan lebih serius dan berkesan lagi," katanya.

Kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands pada 5 November lepas, mengakibatkan lima kematian dan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Orang Ramai di Ringlet.

Artikel Lain