suria

Tindakan Tegas Diambil Terhadap Anggota Rela Salah Guna Senjata Api

MELAKA: Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan mengambil tindakan tegas terhadap anggotanya yang didapati menyalah guna senjata api termasuk menarik balik lesen itu dan melucutkan keanggotaan mereka.

Sehubungan itu, Pemangku Ketua Pengarah Rela Lukeman Saaid mengingatkan anggota Rela supaya menggunakan senjata api yang diberi mengikut prosedur ditetapkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan jabatan itu.

Beliau berkata penggunaan senjata api oleh anggota Rela juga sentiasa dipantau pegawai Rela di 156 daerah di seluruh negara.
 
"Kita memandang serius penyalahgunaan senjata api dan anggota yang menggunakannya untuk tujuan berburu tanpa pengetahuan pegawai... ini juga boleh sebabkan lesen ditarik balik dan keanggotaan dilucutkan," kata Lukeman kepada pemberita selepas majlis penganugerahan pangkat bersekutu Rela di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan seorang anggota Rela melepaskan tembakan dan menyebabkan kematian seorang lelaki dipercayai cuba mencuri lembu di sebuah ladang sawit di Sungai Terah, Gua Musang, Kelantan pada Rabu lepas.

Lukeman berkata ia merupakan kes terpencil dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap lelaki berkenaan.

Menurutnya bukan semua anggota Rela layak memiliki lesen senjata api kerana ia perlu melalui prosedur ketat serta pertimbangan teliti oleh PDRM.
 
"Walaupun permohonan lesen melalui Rela tetapi kita akan membuat tapisan dahulu sebelum mencadangkannya kepada PDRM bagi menentukan kelayakan atau keperluan pemohon," katanya.

Rela juga sentiasa memberi latihan penggunaan senjata yang betul dalam kalangan anggota dan memastikan mereka lulus prosedur yang ditetapkan bagi melayakkan mereka membaharui lesen senjata api.

Dalam perkembangan lain, katanya Rela sentiasa memantau pelbagai isu berkaitan anggotanya melalui unit integriti yang diwujudkan bagi memastikan imej dan persepsi positif jabatan itu dipelihara.

salah guna senjata api, Rela

Artikel Lain