suria

Usahawan Bumiputera Bangun Teknologi Canggih 'Smartz Screen'

Noor Azman membuat demonstrasi penggunaan 'Smartz Screen' di laman media sempena Perhimpunan Agung Umno 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Ahad.

KUALA LUMPUR: Hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang menyeluruh telah berjaya membantu seorang usahawan Bumiputera membangunkan produk 'Smartz Screen', teknologi pelbagai sentuhan LCD tempatan yang canggih dan praktikal.

'Smartz Screen' menggabungkan enam gajet dalam satu iaitu televisyen, komputer, kamera, papan putih interaktif, projekor/papan skrin dan pembesar suara, kata Noor Azman Nordin yang mengambil masa selama setahun untuk menghasilkan produk tersebut.

"Selain praktikal, ia berkebolehan 'memainkan' lima aplikasi serentak bermakna ia boleh digunakan untuk melayari internet, menonton televisyen, 'menulis' di papan putih interaktif dan perbualan video dalam masa sama," katanya kepada Bernama, Ahad.

Pengarah Urusan Reka Makmur Sdn Bhd itu ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, di mana syarikat tersebut menyediakan enam buah 'Smartz Screen' untuk digunakan pada Perhimpunan Agung Umno 2014 yang bermula Selasa.

Beliau berkata, perhimpunan itu menjadi platform untuk memperkenalkan 'Smartz Screen' sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada penghujung Januari depan.

"Ini merupakan peluang terbaik untuk mempamerkan kebolehan anak tempatan bersaing dalam bidang teknologi, kerana kami tidak bimbang bersaing dari segi teknologi kerana kami yakin kemampuan kami tidak kurang hebatnya dengan produk luar.

"Apa yang kami perlukan adalah sokongan dan kepercayaan masyarakat kerana ramai yang mempunyai persepsi bahawa produk teknologi jenama luar adalah lebih baik tanpa memberi peluang kepada produk tempatan," katanya.

Menjelas lanjut mengenai 'Smartz Screen', Noor Azman berkata perisian komputernya menggunakan perisian Window 7 ke atas dan pemprosesan Intel Core i5 dan boleh dioperasikan dengan sentuhan 10 jari.

Ini bermaksud, mengambil kira seorang individu menggunakan dua jari untuk menyentuh paparan skrin bagi melayari internet, 'Smartz Screen' boleh digunakan oleh lima individu serentak.

'Smartz Screen' yang didatangkan dalam lima saiz iaitu 55 inci, 58 inci, 65 inci, 70 inci dan 84 inci turut 'dilindungi' oleh 'tempered glass' setebal 4 milimeter dan dilengkapi sistem anti-glare untuk mengurangkan bayang-bayang pada permukaan skrin.

Mereka yang berminat untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai 'Smartz Screen' boleh melayari laman web www.rekamakmur.com.my. 


Smartz Screen, PWTC, Umno, LCD

Artikel Sebelum

Artikel Lain