CAMERON HIGHLANDS: Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin menggariskan pelan tindakan bagi mengembalikan semula Cameron Highlands sebagai pusat peranginan utama di negara ini. Timbalan perdana menteri yang juga pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Banjir Kilat di Cameron Highlands berkata pelan jangka pendek dan panjang itu termasuk pengawasan projek pembangunan dan aktiviti pertanian serta masalah pendatang tanpa izin (Pati) di tanah tinggi itu. "Usaha ini bukan sahaja untuk memulihara alam sekitar malah mengembalikan zaman kegemilangan Cameron Highlands sebagai pusat peranginan dan pelancongan yang terkenal dengan kebersihan alam sekitar dan hutan semula jadi yang amat menarik," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Banjir Kilat dan Tanah Runtuh Cameron Highlands. Beliau berkata bagi mengawasi pembangunan di Cameron Highlands, Jabatan Perancangan Bandar dan Desa diminta meneliti semula Pelan Tempatan yang telah diluluskan sebelum ini supaya ia diperbaiki dan disesuaikan dengan keadaan semasa. "Contohnya bagi pembangunan hartanah yang dikemukakan, kerajaan negeri bolehlah pertimbangkan atau hadkan penggunaan kawasan yang hendak dimajukan," katanya.