KUCHING: Satu perjumpaan antara wakil dari Konsulat Indonesia, Kedutaan Myanmar dan pihak mewakili Korea Utara dengan pengurusan Hospital Umum Sarawak (HUS) diadakan pada Isnin membincangkan insiden letupan lombong arang batu di Selantik, Pantu di Sri Aman, Sabtu lalu. Kejadian itu melibatkan mangsa dari negara-negara tersebut dengan tiga pekerja maut dan 30 lagi cedera. Mereka yang terbunuh ialah rakyat Korea Utara Pang Chung Hyok, 29; rakyat Myanmar Tun Tun Win, 36; dan rakyat Indonesia, Kardianto, 38. Mangsa cedera terdiri daripada lapan rakyat Korea Utara, Myanmar (enam orang), Indonesia (lapan), China (enam) dan Bangladesh (dua). Difahamkan, semalam wakil dari Kedutaan Korea Utara berada di bandaraya ini, dan telah memberi kuasa kepada pihak syarikat lombong terbabit serta beberapa rakyat negara itu yang bekerja di lombong berkenaan untuk menjadi wakil dalam setiap urusan selepas ini. Pagi tadi, tiga mayat mangsa insiden letupan itu yang ditempatkan di Hospital Sri Aman dibawa ke HUS dan tiba di sini kira-kira 3 petang. "Ketika ini, wakil dari Myanmar, Indonesia dan penyelia dari syarikat perlombongan itu (mewakili Korea Utara) sedang diberi taklimat oleh Pakar Perunding Forensik Kanan HUS, Dr Norliza Ibrahim mengenai proses bedah siasat yang akan dijalankan," katanya. Difahamkan sebarang keputusan lanjut, khususnya melibatkan proses bedah siasat dan langkah seterusnya akan ditentukan oleh wakil-wakil ketiga-tiga negara itu.