suria

Lelaki Dipercayai 'Geng Mamak' Ditembak Mati, Rakan Cedera

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 59 tahun yang dipercayai anggota 'Geng Mamak' maut ditembak, manakala seorang rakannya cedera di pinggang selepas berbalas tembakan dengan sepasukan polis di Taman Melawati pada Selasa.  

Polis menemui sepucuk revolver, beberapa bilah kapak, parang dan kira-kira15 nombor plat palsu dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah dari sebuah kereta yang mereka naiki. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata kejadian itu berlaku pada 1.30 tengah hari apabila pasukan polis yang menjalankan pemeriksaan di kawasan itu terserempak dengan sebuah Volkswagen yang dilihat mencurigakan. 

"Polis bertindak menahan kereta itu selepas mengesan ia menggunakan nombor pendaftaran palsu. 

"Bagaimanapun, pemandunya enggan berbuat demikian, sebaliknya cuba melanggar anggota polis serta melepaskan beberapa das tembakan.  

"Demi mempertahankan diri, polis telah melepaskan tembakan ke arah suspek. Suspek meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita.

Mohd Adnan berkata rakan suspek yang cedera dihantar ke Hospital Ampang untuk rawatan dan polis akan menjalankan siasatan bagi mengetahui pembabitannya dalam mana-mana kegiatan jenayah. 

Dalam insiden itu, seorang anggota polis cedera di lengan kanan dan kiri.

Siasatan polis mendapati suspek mempunyai 24 rekod jenayah lampau, termasuk dikehendaki polis berkaitan lapan kes samun, pecah rumah dan curi. 

Mayat suspek yang berasal dari Grik, Perak dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk bedah siasat. |

Geng Mamak terkenal  dan bergerak aktif pada awal 1990-an. 

Pada mulanya kegiatan mereka tertumpu kepada memecah masuk kilang dan gudang, dan kemudian merompak kereta dan menyamun pemandu. 

Geng itu paling terkenal bila ia melarikan jongkong emas bernilai RM12 juta dari kompleks Kargo Penerbangan Malaysia di Lapangan Terbang Subang pada Hari Merdeka 1994 (31 Ogos 1994).

Geng mamak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain